Monday, 28 March 2016

HIBURAN DIBENARKAN


Imam al-Ghazali berpendapat bahawa mendengar nyanyian ada yang harus dan ada yang sunat serta ada pula yang haram. Nyanyian yang haram disebabkan oleh lima perkara yang mencorakkannya iaitu penyanyi, alat muzik yang digunakan, susunan kata-kata, tanggapan pendengar terhadap nyanyian dan pendengar yang terdiri daripada orang awam.

Selama perkara itu tidak melalaikannya daripada kewajipan agama, bersesuaian dengan nilai akhlak dan bersesuaian pula dengan kedudukannya, maka ia diharuskan.

Oleh itu apabila membincangkan mengenai hiburan, hal-hal seperti susunan kata-kata yang haram, penampilan penyanyi, masa persembahan nyanyian yang menghalang kewajipan agama atau melalaikan manusia, majlis yang disertai dengan makanan dan minuman haram, pergaulan lelaki dan perempuan tanpa batas, dan kesan nyanyian kepada pendengar-pendengar tertentu yang membawa kepada berkelakuan buruk hendaklah diambil-kira.

Selain itu, Islam juga telah meletakkan garis panduan asas yang perlu dipatuhi bagi memastikan sebarang bentuk hiburan yang ingin diketengahkan ke dalam masyarakat tidak terbabas dari landasan syariat.

Antaranya ialah niat yang betul, tiada unsur-unsur yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam, tidak meninggal dan melalaikan kewajiban yang difardhukan oleh Allah, sentiasa menjaga adab-adab pergaulan, tiada unsur perjudian dan tidak berlaku pembaziran. Juga tujuannya hendaklah betul, seperti untuk kesihatan, ketenangan dan kepuasan, jalan untuk taqarub dan mencapai keredaan Allah serta dapat menjalin hubungan sesama manusia.

Jelas kepada kita bahawa tujuan berhibur dalam Islam ialah untuk melahirkan insan yang sihat jasmani, rohani dan sosialnya. Insan yang sihat bukanlah yang hanya terhindar dari sebarang penyakit, tetapi juga terhindar dari permasalahan emosi, perasaan, isu-isu rumahtangga, kekeluargaan, tempat kerja dan sebagainya.

Maka dengan itu, sewajarnya tidak menjadi kesalahan sekiranya hiburan masa kini ingin disemarakkan tetapi hendaklah dibangunkan dalam bentuk dan acuan yang bersandarkan kepada garis panduan Islam kerana pastinya ianya memiliki unsur-unsur positif, terkawal, bersifat mendidik, dan diterima dari pandangan syarak.


Menurut Fatwa Syeikh Syaltut, muzik adalah harus selagi bukan untuk tujuan melalaikan dan maksiat. Manakala menurut Al-Ghazali, tidak ada perincian syarak berkenaan peralatan muzik yang halal dan haram. Ia bergantung kepada keadaan masa dan tempat serta mana-mana alat muzik yang baik dan lunak di dengar adalah harus, dan mana-mana alat muzik yang melalaikan dan dikaitkan dengan pemain muzik serta penyanyi yang mempamirkan akhlak yang buruk merupakan perkara yang ditegah sama sekali. 

No comments:

Post a Comment